Wednesday, February 27, 2013

Mengkaji Gaya Instagram Gadis-Gadis

Hai apa khabar semua? Sepertimana yang kita tahu, hobi gadis-gadis adalah mengambil gambar, tak kiralah gambar sendiri ataupun gambar orang lain. Kalau jenis yang pemalu mungkin mereka tak tayangkan gambar sendiri di khalayak ramai, tetapi kalau anda show hidden files and folders dalam laptop mereka, pasti akan jumpa satu folder bersaiz 20GB berisi gambar sendiri dengan pelbagai ekspresi. Bagi jenis yang suka berkongsi pula, gambar-gambar mereka dimuatnaik sahaja ke laman sosial seperti Facebook dan Instagram. Sebagai seorang pelawat tegar Instagram gadis-gadis (dengan niat untuk mengkaji), saya perhatikan sudah ada satu corak ataupun pattern bergambar gadis-gadis. Gadis-gadis memiliki naluri kewanitaan yang hampir serupa maka tidak hairanlah aksi-aksi yang akan aku sebutkan nanti boleh didapati di dalam semua akaun Instagram gadis-gadis. Harus dinyatakan di sini yang ini adalah pemerhatian secara general dan jika anda rasa saya membuat kajian tentang diri anda secara individu, nyatalah anda silap. Hehe. Ayuh teruskan membaca.

1) What I'm Wearing Today / Outfit of the Day

Gambar-gambar sebegini selalunya dimuatnaik pada waktu pagi, sebelum pergi ke kerja ataupun keluar dari rumah. Konsep gambar sebegini adalah, berdiri di hadapan cermin dan ambil gambar penuh menggunakan telefon pintar. Di dalam ruangan caption, anda perlu meletakkan baju jenama apa yang dipakai, beli di mana dan harga sekali kalau boleh dan disudahi dengan hashtag #WiWT ataupun #OOTD. Masalah mula timbul apabila semua baju dah pun ditayangkan kepada pengikut. Untuk menyelesaikan masalah tersebut, mereka 'terpaksa' kembali ke kompleks membeli-belah memborong lebih banyak baju yang tidak berapa perlu walaupun almari pakaian sudah tidak muat.

Gambar di bawah ini adalah contoh saja, tapi rumah aku tak ada cermin besar kan nak buat camana.


Topi Komunis Jonker Street (RM10), Family Guy t-shirt from Pull & Bear (RM80), Liverpool FC sweater from Al-Ikhsan, seluar pendek from Parkson, Sexy boxer from Triumph, Thai Temple from Kedai Online John #WiWT

2) Gambar kaki

Ini adalah gambar yang common juga dalam Instagram gadis-gadis. Gambar ini selalunya dimuatnaik dalam sesi membeli-belah mereka, which is almost everyday. Konsep bergambar sebegini memang mudah, anda hanya perlu pergi ke mana-mana kedai kasut popular seperti Aldo, Nose mahupun Vincci, sarung mana-mana kasut yang anda berkenan di kaki, gunakan filter-filter yang boleh menyembunyikan ketuat di jari kaki, lalu memuatnaik gambar tersebut dan refresh sehingga ada orang like gambar tersebut.

Terdapat juga variasi gambar kaki ini iaitu gambar kaki di tepi pantai. Ketika sedang bercanda memakai bikini berjemur di tengah matahari, gambar kaki ayam (tanpa kasut / selipar / sudah di 'veet') yang menghadap pantai akan diambil. Nak nampak lebih kool jangan lupa tulis nama sendiri ataupun nama kekasih di atas pasir pantai. Satu lagi variasi kaki yang popular adalah apabila penggemar gambar kaki bergabung. Mereka akan membentuk satu bulatan kaki dan membandingkan kasut siapa yang paling mahal.

3) Gambar cawan Starbucks

Kenyataan umum berdasarkan aktiviti stalking, Starbucks adalah kopi kegemaran gadis-gadis. Atas dasar itulah, setiap album Instagram gadis-gadis mesti ada gambar cawan Starbucks di atas meja, lepastu nak nampak bergaya letaklah kunci kereta ataupun telefon pintar di sebelah, sebelum gambar diambil dari sudut-sudut sukar. Di sini saya ingin mencadangkan agar gadis-gadis mencuba minuman Alicafe Power Root, minuman kopi pracampur dengan Tongkat Ali. Memang lazat sehingga menjilat dinding. Lepastu mesti orang anggap anda superkool sebab Instagram tin Alicafe.



4) Ayat-ayat motivasi

Ayat-ayat motivasi ke ayat-ayat emosi? Sedar ataupun tidak, kebanyakan ayat-ayat yang dipost sebenarnya berkaitan dengan perasaan gadis-gadis di waktu itu. Contohnya kalau seorang gadis itu tengah cirit-birit, dia mungkin akan post gambar quote "Mengalir lancar bagaikan sungai nan deras" ataupun kalau dia tengah emo dengan boyfriend dia "Keep Calm and Continue Online Shopping".

5) Gambar kecantikan kuku

Gambar ini selalunya akan dipost selepas sesi manicure pedicure. Yelah takkanlah nak post gambar kuku selepas makan ataupun cebok berak jijiklah orang tengok nanti. Selepas manicure, kita boleh lihat kuku di tangan berkilat-kilat macam lagu Rihanna Shine Bright Like A Diamond (24x). Kalau tengok kuku kita tu, boleh nampak refleksi muka kita sendiri so mestilah kita Instagram kan.

Tak lupa juga hasil-hasil seni yang diaplikasi kepada kuku. Kadang-kadang bila kunci mangga terjatuh kat kuku kaki, serta merta kuku jadi biru sebab lebam dan ada darah beku. Gadis-gadis ni bijak kesakitan boleh ditukar kepada kecantikan. So mereka pun warnalah kuku kaki yang lain dengan warna biru. Nak yang lagi kool, boleh lukis-lukis pelbagai jenis gambar (nail art) di kuku seperti corak kulit harimau bintang ataupun gambar kuda laut.

6) and of course......



Ini adalah entri parodi sekadar untuk ketawa hi hi hi. Di harap gadis-gadis tidak terasa hati dan private terus Instagram jika anda ada di antara anda menggayakan aksi-aksi di atas. Lagipun teknik-teknik bergambar di atas semua aku kaji daripada Instagram gadis-gadis luar negara. Untuk bersifat adil, mungkin lain kali aku kan buat entri Mengkaji Gaya Instagram Jejaka untuk kita bergelak tawa bersama-sama ok? Jika anda pengguna Instagram tegar, jangan lupa kongsikan gaya bergambar gadis anda. Assalamualaikum.

Monday, February 18, 2013

Mengkaji Tabiat Manusia di Instagram

Tahukah anda, saya menggunakan telefon pintar Windows? Tahukah anda lagi, Windows Phone tidak mempunyai applikasi rasmi untuk Instagram? Ya memang sama hina seperti Blackberry tetapi orang lebih gemar keji Blackberry daripada Windows Phone. Tetapi sejak isteri saya habis pantang dan bayi sudah pulang ke rumah, saya merasakan sudah tiba masanya untuk mencipta satu akaun Instagram untuk berkongsi gambar-gambar comel bayi ataupun sarapan pagi saya yang biasa-biasa je tetapi nampak lazat setelah meletakkan filter yang menggambarkan saya seperti seorang yang artistik. Oh juga sebagai taktik malas nak update blog kahkahkah.


Well sebelum ini walaupun tiada akaun Instagram, saya memang aktif dalam aktiviti menyiasat gambar-gambar anda yang dipost di dalam Instagram. As long as kalian tak private la hehe. Ah jangan nak judge kalian pun sama hari-hari usha gambar Daphne Iking. Sambil stalk eh siasat, kita sedikit sebanyak dapat menganalisa tabiat manusia di Instagram. Ayuh teruskan membaca.

1) Obsesi melampau terhadap diri sendiri

Cantik, itu perasaan. Tercantik, itu perasan. Bagi yang tidak perasan yang mereka itu perasan, setiap 30 minit mereka akan meletakkan gambar sendiri berserta caption-caption yang seolah-olah meminta untuk diberikan Stone Cold Stunner. Bangun bagi, dimulakan dengan wajah sendiri baru bangun dari tidur konon-konon tak mekap tetapi sebenarnya dah sikat rambut cantik-cantik letak maskara semua sambil membuat muncung buaya berserta dengan caption, "Buwuknyeww mukeww ittewww". 30 minit kemudian gambar penuh di hadapan cermin berserta dengan jenama blouse yang dipakai serta beli di mana. 30 minit kemudian, satu lagi gambar yang dibahagikan kepada 4 petak di mana setiap petak tersebut mengandungi wajah sendiri dengan 4 ekspresi yang berbeza. 30 minit kemudian...Well you get my point. Apapun orang lelaki rasanya tak kisah dengan gadis-gadis sebegini, especially jika mereka memang dilahirkan comel dan solid tubuh badan.

2) #Banyak #Sangat #Hashtag #Kau #Ni

Apakah fungsi sesebuah hashtag di dalam Instagram? Apabila kita memuatnaik sesuatu gambar, dan gambar itu disertakan dengan hashtag yang berkaitan, kita boleh klik hashtag tersebut untuk melihat gambar-gambar yang menggunakan hashtag yang sama. Ini adalah bagus untuk mencari orang lain dengan minat yang sama. Tetapi ramai juga yang tidak faham dengan konsep hashtag ini apabila meletakkan terlalu banyak hashtag dalam satu gambar ataupun meletakkan hashtag yang langsung tidak berkaitan dengan gambar. Contohnya letak gambar nasi putih dengan caption 'Mari makan! #nasi #makan #lapar #foodporn #berasJasmine #AlphaLipid #PremiumBeautiful #CDM #CrownDiamondManager #CentralDefensiveMidfielder #WatsonNyambek #BakalJenazah #Tiljannah'

3) Berceramah di gambar selebriti

Memang tak dinafikan, dalam following list Instagram kita pasti ada sorang dua selebriti yang kita minat. Well bukan kerana bakat mereka, tetapi kerana gambar-gambar seksi yang boleh membuatkan pergerakan berlaku di dalam seluar. So bila selebriti tu up gambar hangat beliau, berbondong-bondonglah 'like' yang datang, berserta komen-komen seperti 'WAUU CANTIKNYA!", "MMM YOU NI MEMANG COMEY", "GORJES!" dan pelbagai lagi komen-komen berbentuk pujian. Lepastu tiba-tiba ada pulak satu komen "Astaghfirullahalazim apa guna cantik kalau tak reti tutup aurat. Awak tu Islam dah cukup ke amalan tu nak masuk neraka ke (masukkan hadis untuk menguatkan hujah)". Tapi bila kita klik profile dia, private. Hehehehe.

4) Plagiarism

Plagiarism wujud di mana-mana. Kita semua pernah plagiat assignment masa di universiti dahulu. Blog ni pun pernah kena plagiat. Hehe. Kat Twitter pun toksah cerita la rileks je rampas tweet orang lain. So tidak hairanlah perkara ini boleh menular di Instagram juga. Baru-baru ni aku tengok orang kantoi begitu sama ambil gambar 'berseni' orang lain, lepastu edit guna Microsoft Paint agaknya buang caption, lepastu letak caption sendiri. Lepastu mengaku sebagai artwork sendiri tapi bila dah kantoi masih lagi mempertahankan kredibiliti beliau. Tapi jenis yang lagi psycho, bukan setakat curi gambar, tetapi curi kehidupan mereka sekali. Curi gambar orang, edit muka jadi muka sendiri, lepastu post kat Instagram sendiri sambil mereka watak-watak lain yang ada di dalam gambar sebagai kawan sendiri. Eeeee creepyyyyyy.

5) Pujian tak ikhlas

"Nice pic. Follow me back". "Comelnya baby! Follow back pls" . "Huiii memang seni tahap tinggi gambar awak ni saya dah like semoga awak sudi like gambar saya balik"

6) Gambar yang terlalu berseni A Samad Said pun tak faham

Well seni itu subjektif. Aku yang dapat C dalam Pendidikan Seni mungkin tak faham bila orang letak gambar cawan Starbucks di atas meja, lepastu ditambah pula dengan frame berapi secara maya, lepastu letak pula filter-filter aneh yang nampak kompleks, dan disudahi dengan caption berbahasa Perancis.

7) Eh ini Instagram ke Twitter?

Instagram adalah rangkaian perkhidmatan dalam talian perkongsian foto dan sosial yang membolehkan pengguna untuk mengambil gambar, memohon penapis digital kepada mereka, dan berkongsi mereka di pelbagai perkhidmatan rangkaian sosial. Ayat tersebut nampak aneh kerana aku Google Translate definisi Instagram di Wikipakdia. Jadi merujuk kepada definisi tersebut, mengapa masih mahu meletakkan GAMBAR quote-quote inspirasi mahupun beremosi (yang bukan anda cipta sendiri) jika ada medium yang lebih sesuai seperti Twitter dan Tumblr. Kami mahukan gambar hangat anda, bukannya kata-kata yang relatable semasa dalam PMS!

Harus dinyatakan di sini, segala apa yang ditulis bukanlah tentang anda, tetapi pengguna-pengguna Instagram di luar negara. Amacam taktik jaga hati aku kool bukan? Namun begitu, biar apapun yang orang kata, kita berhak untuk melayan akaun Instagram kita sendiri dengan sesuka-hati kita. Jika anda tidak suka dengan gambar bayi, gambar binatang peliharaan, gambar bayang-bayang sendiri, gambar kaki, mahupun gambar six pack yang kami paparkan, mengapa anda masih mahu follow? Adakah ada tabiat lain yang ingin dikongsi bersama? Jika anda akaun-akaun menarik yang hangat yang tidak menimbulkan syak wasangkan isteri, jangan kedekut ok.

Thursday, February 7, 2013

Panduan Memilih Suami Berdasarkan Pasukan Bola Sepak Yang Diminati

Hai apa khabar pembaca? Orang kata jodoh itu di tangan Tuhan. Tetapi jodoh tak datang bergolek, melainkan jika anda suruh mama anda carikan jodoh untuk kita. Tapi taste mama kita lain dengan taste kita. Sebagai seorang gadis, anda pasti dambakan seseorang yang memiliki keperibadian dan sifat fizikal sempurna seperti hero-hero dalam siri popular Adam dan Hawa mahupun Setia Hujung Nyawa. Tetapi jejaka sedemikian tidak wujud di dunia sebenar, so kadang-kadang gadis-gadis end up dengan lelaki yang hanya sweet dan hensem hanya semasa bercinta. Lepastu dah kahwin benda yang paling manis yang mereka beri adalah dijangkiti kencing manis. Langsung tiada lagi kad-kad buatan tangan berisi kata cinta, apatah lagi nak tolong bukakan pintu kereta.

Ini semua boleh mempengaruhi perhubungan selepas perkahwinan sekiranya gadis-gadis meletakkan expectation yang terlalu tinggi tanpa ada sebarang kaji selidik tentang sikap sebenar pasangan mereka. Dengan persediaan yang cukup, ternyata keharmonian rumahtangga dapat dikekalkan. Salah satu cara untuk mengenali sikap sebenar pasangan adalah melalui pasukan bola sepak yang diminatinya. What the what? Boleh percaya ke? Saya akan menggunakan pasukan daripada Liga Perdana Inggeris sebagai contoh kerana liga tersebut adalah liga yang paling popular di dalam dunia. Ayuh teruskan membaca.

Pakwe Manchester United


Ulasan ringkas: Lelaki seperti ini adalah lelaki yang paling ramai, dan paling senang dijumpai. Jika anda inginkan keunikan, mereka bukanlah jenis lelaki yang anda harus kejar kerana kat mana-mana pun boleh jumpa. Kat pasar malam ada, kat kawasan Rehat dan Rawat (R&R) pun boleh jumpa.

Sifat Mahmudah: Pakwe jenis ini adalah jenis manusia yang tidak berputus asa. Manchester United yang sebenar tidak pernah menyerah kalah sehingga titisan peluh yang terakhir. Dah berapa banyak kali mereka jaringkan gol last-last minit? Mungkin sebab pengurus dia pandai mempengaruhi pengadil untuk memberi lebih banyak masa. Itu satu kebaikan juga. Menggunakan contoh tersebut, Pakwe Manchester United dikatakan pandai 'memanipulasi' orang lain, dalam hal ini mungkin memikat bakal bapa mertuanya untuk memihak kepada beliau.

Sifat Mazmumah: Masalah akan timbul jika Pakwe Manchester United menerap sikap individu di dalam pasukan tersebut. Pakwe yang asyik pakai baju Rooney, mereka selalunya berbadan gempal dan tak hensem seperti Shrek, di samping memiliki fetish terhadap pasangan yang tua....jauh lebih tua. Yang suka Ryan Giggs, kejujuran mereka boleh diragukan, especially jika anda lihat mereka rapat semacam dengan adik beradik perempuan anda yang lain. Secara umumnya, Pakwe Manchester United ni boleh jadi takbur dan riak, kerana mereka rasa mereka lah yang paling power, tetapi apabila dicuit sedikit tahap PMS mereka mengalahkan perempuan. Pakwe Manchester United adalah Pakwe yang paling tidak digemari oleh Pakwe bola sepak lain.

Pakwe Arsenal


Ulasan ringkas: Pakwe Arsenal dikenali sebagai pakwe yang tenang, dan tidak mudah melatah apabila menghadapi dugaan kerana mereka sudah biasa menghadapinya, seperti mana pasukan Arsenal sebenar yang entah berapa tahun tidak dapat memegang sebarang piala. Jika anda inginkan kehidupan yang tenang, stabil, dan tak kisah dengan kejayaan besar, maka pakwe jenis inilah yang harus dijadikan suami.

Sifat Mahmudah: Pakwe Arsenal dikatakan memiliki kesetiaan yang paling tinggi antara semua pakwe bola sepak. Dugaan demi dugaan datang setiap tahun, namun mereka tetap memberi komitmen yang tidak berbelah bahagi. Pendek kata, mereka tak akan curang dengan anda. Mereka suka mencari pasangan yang muda, untuk dididik dengan baik, walaupun most of the times pasangan itu fedup dan meninggalkan mereka kerana mereka mahukan sesuatu yang lebih yang tidak mampu diberi oleh Pakwe Arsenal.

Sefat Mazmumah: Pakwe Arsenal ni mula-mula kalau kenal, memang jenis yang kedekut, tak sanggup berbelanja besar untuk makwe. Bila dah terdesak, ditinggalkan, nampak orang lain lebih berjaya, barulah nak keluarkan duit. Mereka selalu menggunakan teknik memikat yang cantik, sepertimana cantiknya gaya permainan bola sepak Arsenal, cuma keputusannya selalu tidak memihak kepada mereka. Mereka juga tidak bercita-cita tinggi, di mana Pakwe lain aim untuk menjadi yang terbaik, tetapi Pakwe Arsenal sekadar aim nak jadi nombor 4 sepanjang masa. Secara individu, jika mereka personally minat Santos ataupun Gervinho, anda tak usahlah terlalu bergantung kepada mereka.

Pakwe Chelsea


Ulasan ringkas: Pakwe Chelsea adalah pakwe yang hanya mula meningkat naik sejak kebelakangan ini. Dulu-dulu tak ada pun Pakwe Chelsea ni, tapi sejak abang Roman membeli kelab Chelsea dan membelanjakan wang sesuka hati, bilangan Pakwe Chelsea tiba-tiba meningkat.

Sifat Mahmudah: Secara umumnya, kaya.

Sifat Mazmumah: Kekuatan Pakwe Chelsea merupakan kelemahan mereka juga. Mereka sangka segala-galanya mungkin boleh diselesaikan dengan wang. Dari situ kita boleh nampak mereka kurang pandai berkomunikasi. Yelah dalam perhubungan, kenalah saling ada komunikasi, barulah kita faham kehendak pasangan. Tiada komunikasi, tiadalah persefahaman. Itu yang cepat berpisah tu. Mereka juga agresif, cepat melenting, dan tiada kesabaran. Kalau keputusan tak menyebelahi mereka, jaga-jaga senang-senang je mereka akan tinggalkan anda. Kalau Torres merupakan idola mereka, anda juga yang kecewa kerana setiap kali anda call Pakwe Chelsea, pasti jadi missed call. Get it? Get it? Tapi kalau John Terry idola mereka, ada baiknya anda tinggalkan sahaja jantan dayus itu sebelum hati anda diremukkan bak kaca terhempas ke batu.

Pakwe Liverpool


Ulasan ringkas: Pakwe Liverpool adalah pakwe yang boleh dikatakan 'rare' di saat-saat ini. Seperti Pakwe Arsenal, mereka juga ada keperibadian yang 'chill' dan tenang apabila tohmahan dan cacian menimpa dari pelbagai sudut. Jika anda percaya dengan pepatah bola sepak, 'Form is temporary, class is permanent' maka Pakwe Liverpool lah yang harus dijadikan pasangan hidup #Tiljannah.

Sifat Mahmudah: Pakwe Liverpool selalu diejek suka 'sandarkan pada kenangan'. You know, asyik ungkit pasal sejarah lama. Itu sebenarnya adalah satu kelebihan. Tatkala perhubungan menjadi retak, Pakwe Liverpool akan sandarkan pada kenangan, mengapa mereka jatuh cinta at the first place, sekaligus cuba untuk memperbaiki hubungan. Tahap kesabaran mereka juga tinggi, mereka tidak akan meninggikan suara terhadap anda. Kalau bergaduh pun mereka yang akan mengalah. Jika idola mereka adalah abang Gerrard, seorang 'one man team' maka kita boleh expect kesetiaan yang sama terhadap anda.

Sifat Mazmumah: Kuat mengungkit. Tapi takdelah sampai membandingkan sejarah percintaan lama beliau dengan percintaan sekarang. Pakwe Liverpool juga rata-ratanya memang sangat tampan, dan ini boleh jadi satu keburukan jika anda jenis yang kuat cemburu.

Begitulah antara jenis-jenis pakwe bola sepak yang popular. Diharapkan dengan panduan di atas, anda gadis-gadis sedikit sebanyak dapat membuat keputusan yang terbaik dalam memilih calon suami untuk memastikan kebahagiaan di masa hadapan. Of course, kenyataan di atas hanyalah generalization semata-mata dan tidak semestinya relevan dengan situasi anda sekarang. Ye lah kalau pakwe tak minat bola sepak tapi minat badminton camana pulak ye tak? So pakwe jenis manakah yang anda idamkan? Bagi lelaki, adakah anda ada point-point penting untuk ditambah bagi jenis-jenis pakwe di atas? Ayuh kongsikan bersama.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...