Friday, October 24, 2014

Mengkaji Jenis-Jenis Group WhatsApp



Hai apa khabar semua? Di era teknologi maklumat ini, boleh dikatakan hampir semua orang memiliki telefon pintar. Hinggakan sepupu anda yang baru masuk darjah satu pun dah ada iPhone. Masa kau darjah satu kau ada apa? Kau ada telefon juga tapi guna untuk minum air. Anyway, apabila telah memiliki telefon pintar, satu applikasi yang wajib kita install adalah Whatsapp. Whatsapp menjadi medium utama untuk berkomunikasi sesama insan di mana jua kita berada kerana faktor kesenangan dan murah. Salah satu kegunaan Whatsapp adalah fungsi untuk membentuk kumpulan yang membolehkan kita berbual-bual dengan ramai orang secara serentak. Maka hari ini kita akan membincangkan tentang jenis-jenis group Whatsapp yang wujud. Ayuh teruskan membaca.

Group BFF

Group ini semua orang ada, melainkan anda dipulaukan rakan-rakan. Group ini terdiri daripada teman baik sejak kecil yang membesar bersama, bersekolah bersama, tengok porn bersama serta mendoakan kesejahteraan ahli setiap kali selepas solat. Group ini tiada konsep perbincangan yang tetap, semua benda pun boleh layan tak kiralah yang baik mahupun buruk. Buruk lebih kerap kot. Group ini juga sering dipersalahkan jika isteri ternampak gambar ataupun video mencurigakan yang disimpan di dalam telefon dengan alasan "Eh tu bukan saya punya tu budak-budak team Bangi yang hantar tu...."

Group Rakan Sekerja

Group ini diwujudkan atas semangat cintakan syarikat di mana rakan sekerja akan bercerita tentang hal-hal kerja dalam nada yang tegas. Mula-mula je macam tu tapi lepas beberapa ketika group tersebut dijadikan sebagai medium untuk mengumpat majikan.Segala caci maki, carutan dan disudahi dengan gambar bos yang dijadikan meme semuanya dilontarkan dalam keadaan marah.

Group Sanak Saudara

Sedang kita asyik berak sambil membaca laman blog gossip, tiba-tiba kita mendapat notification yang kita telah dimasukkan ke dalam group yang terdiri daripada ahli keluarga. Besar sekali group ini kerana sepupu, anak saudara kita yang masih kecil pun dah ada telefon pintar. Padahal bila balik kampung jumpa sepatah haram pun tak pernah berbual mesra. Hari-hari kita terpaksa melayan jenaka hambar yang kita dah tahu kerana semuanya diambil daripada Facebook dan Twitter. Nak quit group tak sampai hati kerana tak mahu situasi awkward bila Mak Ngah kau tanya "Eh Shuhud kenapa quit group ya? Benci kat Mak Ngah ke?"

Group Anti Kerajaan / Pro Kerajaan

Kadang-kadang kita tak tunjukkan pun hala tuju politik kita sokong mana. Merungut harga minyak naik sikit je, terus dimasukkan ke dalam group Anti Kerajaan. Pap pap pap pelbagai fakta dan teori tentang cincin, lembu, kapal selam, Altantuya, Kangkung semua keluar. Bagi yang dimasukkan ke dalam group Pro Kerajaan pula, mereka banyak didedahkan dengan jenaka punggung. Adalah sekali dua puji gaya kepimpinan Najib tapi akan berakhir dengan jenaka dubur juga.

Group Konspirasi Teori

Group ini pula sering membincangkan tentang misteri-misteri yang berlaku di dunia ini. Group ini adalah group yang serius dan mereka tidak suka jika teori mereka dipersoalkan kerana mereka telah membuat kajian yang mendalam melalui Google dan kadang-kadang dicopy dari group konspirasi teori yang lain (yang membuat kajian melalui Google juga). Antara perkara yang sering didebatkan adalah misteri kehilangan MH370, misteri artis barat mana yang Illuminati mahupun misteri kenapa banyak sangat orang jahat di kampung Tok Adi Tanah Kubur.

Group Pakai dan Buang

Group ini adalah group sementara yang direka orang seorang individu yang ingin membuat pengumuman tentang sesuatu, lalu dengan tenang menambah rakan-rakan secara bertalu-talu, lepastu bila dah habaq apa yang mereka mahu, mereka pergi meninggalkan group bagaikan angin bayu. Kalau korang perasan ayat-ayat sebelum ni semuanya rhyme siot. Anyway bila pencipta group dah quit, tinggalkan orang semua terpinga-pinga dengan hala tuju group tersebut.

Group Malas Taip So Guna Voice Messaging

KALAU MALAS TAIP CALL JE LAH TERUS

Group Drop Location

Group ini tak banyak bercakap, tetapi lebih banyak share location di setiap tempat yang dilawati oleh ahli group tersebut. Nampak seperti aneh tetapi ini sebenarnya aktiviti yang normal. Kadang-kadang nak nampak beriman, lalu depan masjid kita pun share lah location masjid. Nak nampak seram, kita share location di kawasan perkuburan. Nak nampak kaya, kita share location di kedai beg tangan Jurulatih.

Group Tazkirah

Group ini macam tabligh in real life lah, dia datang ketuk pintu bilik kau, jenis iman rapuh macam kita ni malas je nak dengar tapi gagahkan juga diri pakai seluar panjang dan buka pintu. So bila dah orang dah add kau dalam group tu, nak quit rasa berdosa pula so kau pun dengar jelah segala nasihat dan ilmu yang diturunkan. Bagi menunjukkan kau punya participation, kau replylah sekali sekali dengan emoticon jari tunjuk good tu ataupun syukran. Kalau group tazkirah perempuan selalunya akak tazkirah senior akan menegaskan tentang konsep bercinta selepas kahwin. Memanglah sebab dia single lagi kah kah kah.

Group Mute Tiap-Tiap Minggu

Come on kita semua ada group sebegini. Group yang kita lebih rela tak sertai tapi tak sanggup nak keluar kerana tak mahu mengguris hati ahli group lain. Group ini boleh terdiri daripada mana-mana group yang dibincangkan di atas. Oh aku pakai Windows Phone dan Whatsapp mereka hanya boleh mute seminggu. Untunglah mereka yang boleh mute 100 tahun hehe.

Begitulah antara jenis group-group Whatsapp yang wujud. Ada juga group-group Whatsapp yang lain seperti Group Berbual 2 Orang Tapi Taknak Whatsapp Orang Tu Terus, Group Berdosa Yang Share Video Mirip UAI mahupun Group Ingin Menyentuh Anjing yang saya tak dapat nak huraikan kerana bateri laptop nak habis (tipu). Ada group yang lain tak? Jika anda berada di dalam group-group di atas, ayuh bincangkan pengalaman anda.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...