Thursday, December 31, 2015

#2Kerja: Pilihan atau Paksaan?

Hai apa khabar semua? OMG SEKEJAP JE DAH NAK MASUK 2016! Adakah azam tahun 2015 sudah tercapai ataupun anda sekadar hangat-hangat tahi azam saja? Anyway, pihak Astro ada menghubungi saya dan menawarkan peluang untuk menulis entri di portal Astro Awani. Peluang untuk membuat jenaka hambar sambil mengumpat di audience yang lebih besar? Of course saya berminat. Saya pun tulislah satu artikel berkenaan dengan isu yang sedang hangat di media sosial ketika ini iaitu #2Kerja. Anda boleh baca artikel tersebut di sini: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/2kerja-pilihan-atau-paksaan-87340


Anyway, oleh kerana artikel tersebut akan dipublish kepada pihak umum, saya menghantar artikel yang lebih sopan, tetapi point dia tetap sama. Jangan bimbang saya akan memaparkan entri original di sini. Ayuh teruskan membaca.

Sebagai seorang pengguna tegar media sosial, anda pasti peka dengan isu hangat yang sedang melanda. Dari isu KimK tempatan hinggalah ke isu Kim K antarabangsa, semuanya menjadi topik bualan hangat di dalam group Whatsapp keluarga. Satu isu yang masih asyik dibahaskan di Twitter mahupun Facebook adalah berkenaan #2Kerja.

Alam maya sekali lagi bergelora berikutan dengan kenyataan seorang menteri tentang perlunya rakyat untuk membuat 2 kerja bagi menambah pendapatan demi menampung kehidupan. Untuk mengelakkan daripada mendapat dosa akibat mengumpat, nama menteri tersebut terpaksa dirahsiakan. Netizen menjadi berang bukan kerana kenyataan itu benar (ataupun salah), tetapi kurang senang dengan nada yang disampaikan seolah-olah kenaikan kos sara hidup adalah berpunca daripada diri sendiri, sekaligus rakyat yang terpaksa menanggung akibatnya. Netizen juga turut bengang dengan istilah 'netizen' itu sendiri, kalau boleh kita gunakanlah istilah lain.

Menteri tersebut menyatakan yang beliau sendiri ada 3 kerja iaitu sebagai Timbalan Menteri, Ahli Parlimen dan Ketua Penerangan. Beliau seolah-olah merendah diri kerana tidak menyatakan satu lagi pekerjaan beliau iaitu Pakar Nasi Goreng dengan resipi istimewa menyusun timun di kuali, kalah Gordon Ramsay ataupun juara MasterChef Selebriti Fazley Yaakob Asmara Ini. Lagipun rasanya beliau salah faham maksud kerja dengan jawatan. Tak apa, kita seharusnya menjadikan menteri tersebut sebagai sumber inspirasi, kerana tanpa kita sedari kita sebenarnya memang sudahpun melakukan #2Kerja. Contohnya, saya bekerja sebagai pegawai Teknologi Maklumat masuk kerja pukul 9 pagi dan balik ke rumah pada pukul 6 petang jika tiada kesesakan lalulintas. Di samping itu saya juga sibuk menjadi Admin untuk beberapa group WhatsApp. Nampak tak saya selitkan sedikit elemen komedi di situ.

Berbalik kepada isu asal, #2Kerja sepatutnya menjadi satu pilihan, dan bukannya satu keperluan untuk rakyat. Pilihan untuk mencari wang lebih dengan menjual kerepek pisang secara online untuk menampung perbelanjaan percutian ke Legoland, bukan sebab terpaksa meniaga di atas talian kerana tak mampu nak menanggung kos sara hidup. Lagipun, bukan semua orang berminat untuk pergi ke ruangan komen artis tempatan bagi mengiklankan produk pemutihan ketiak mereka demi menampung perbelanjaan harian. Di saat-saat sebegini, rakan-rakan MLM kita pun akan turut mengambil kesempatan untuk memperdayakan kita dengan menawarkan jalan mudah dengan menjana wang sambil tidur. Ada juga yang ikut saranan menteri nak buat #2Kerja pergi buka kedai vape, tiba-tiba dah kena suruh tutup pula. Rasa geram sampai nak tumbuk jiran secara tiba-tiba pun ada kan.

Benar, dari sudut positif kita mungkin boleh hidup dengan lebih 'senang' jika kita membuat #2Kerja, tetapi bak kata pepatah Inggeris "Quality is better than quantity". Ada banyak kerja tak semestinya kerja yang anda buat tu bagus. Semakin banyak benda kita nak fokus, ada kemungkinan kualiti kerja akan terjejas. Kita juga harus fikirkan tentang 'work life balance'. Siang kerja jurutera, malam memandu Uber, maka bila waktunya untuk kita bermesra dengan kucing dan anak-anak? Balik rumah lewat isteri pun ikut sama buat #2Kerja iaitu membebel dan membebel lagi.

Saya sebagai seorang rakyat seperti anda, sudah pasti saya turut rasa tempias kenaikan kos sara hidup ini. Syukurlah kena tempias, ada orang yang tak bernasib baik kena simbah terus. Kita boleh terus merungut tentang kenaikan kos sara hidup di media sosial, ataupun kita boleh merungut dalam bentuk artikel seperti ni. Hakikatnya, kita sendiri yang akan menentukan hala tuju hidup sendiri. Jangan biarkan diri anda terkesan dengan kenyataan-kenyataan kurang menyenangkan daripada mereka yang berada di atas walaupun mereka memiliki pointer 3.85. Bagi menutup perbincangan kita ini, saya ingin menyanyikan sedikit bait lagu nasyid popular In Team sebagai pembakar semangat "Bersabarlah sayang, saat indah kan menjelma jua..."

Ok tamat jangan lupa share artikel di Astro Awani itu agar mereka akan terus memberikan peluang untuk saya terus menulis. What about you guys? Adakah kalian setuju ataupun tidak dengan #2Kerja ni? Anyway thanks for your support guys I really do appreciate it. Selamat Tahun Baru! Jangan buat jenaka masuk tandas setahun ok.



4 comments:

An lallana said...

Hambar2 pon tetap #YNWA

Adam Johari said...

Haha artikel asal better Jai

Adam

Dewi Aja said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

siber4141 said...

Surirumah yang sedang goyang kaki berehat atau goyang kaki guna mesin jahit, mari tambah pendapatan, lihat laman web aje anda akan dibayar dalam Dolar Amerika (USD). Klik sini---> http://2kerja.blogspot.com/

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...