Thursday, January 21, 2016

Bagaimana Penajaan Mempengaruhi Sukan Bola Sepak Tempatan

Satu nama yang semakin gah meniti di bibir masyarakat adalah pengasas produk kecantikan Qu Puteh, Datuk Seri Vida. Pengaruh DS Vida ini bukan sekadar di dalam iklan pemutihan wajah di kaca TV, malahan kini semakin banyak membuat kemunculan di rancangan hiburan mengalahkan artis tempatan. Terkini, DS Vida melebarkan sayap beliau dengan membuat keputusan untuk menaja pasukan bolasepak Kelantan, ataupun nama manja baru mereka Pamoga Qu Puteh The Red Warriors.

Sehubungan dengan itu, syarikat kosmetik D’Herbs dikatakan mahu menaja pasukan Selangor dan Megah Perawan pula hampir pasti akan menjadi penaja PKNS. Dengan keadaan ekonomi yang tidak stabil serta kos perbelanjaan pengurusan yang semakin meningkat, tak hairanlah banyak pasukan yang masih bergelut untuk mencari penaja sebelum Liga Super 2016 bermula. Kita harus mengkaji, apakah impak di sebalik penajaan seperti ini terhadap sukan bola sepak tempatan? Ayuh teruskan membaca.

Hilang identiti?

Setelah mendengar syarat yang dikenakan oleh DS Vida, netizen khususnya penyokong TRW sendiri menyuarakan kebimbangan terhadap identiti pasukan yang tercalar. Bagaimana nak buat pihak lawan gentar setelah melihat stadium sendiri berwana merah jambu? Dengan jersey, stokin mahupun seluar dalam yang berwarna pink, penonton akan tertanya-tanya adakah hendak bermain bola ataupun pergi ke majlis harijadi bertemakan Hello Kitty?

Dalam hal ini, penyokong tidak boleh menuding jari menyalahkan pihak penaja semata-mata, kerana pada akhirnya keputusan terletak di tangan persatuan bola sepak. Penaja bukannya pemurah seperti penderma 2.6b, kerana mereka tiada obligasi terhadap identiti dan sejarah pasukan. Sebaliknya mereka ada kepentingan sendiri atas dasar perniagaan. Bukannya DS Vida ugut nak sapu krim Qu Puteh kat muka Tan Sri Annuar Musa jika tak terima syarat beliau bukan?


Ini bukan isu besar sebenarnya. Penyokong harus berfikiran jauh dan menyedari syarat yang dikenakan hanyalah bersifat ’kosmetik‘ dan sementara . Selagi pihak penaja tidak masuk campur urusan pemilihan pemain mahupun formasi, abaikan saja ejekan cemburu penyokong pasukan lain.

Kekal stabiliti pasukan

Sebelum kebanjiran syarikat kosmetik menjadi penaja pasukan bola sepak tempatan, syarikat rokok pernah menjadi penaja utama Liga Malaysia. Setelah syarikat rokok dilarang daripada menaja apa-apa aktiviti sukan termasuk bola sepak, ada pasukan yang jatuh muflis.

Dalam menguruskan sebuah pasukan bola sepak, jutaan ringgit diperlukan untuk menampung kos gaji pemain, pengangkutan dan penginapan, mahupun potongan wang KWSP. Sudah banyak kali kita dengar berita tentang kegagalan persatuan bola sepak tempatan membayar gaji tepat pada waktunya.

Benar, jumlah tajaan yang kita terima adalah kecil berbanding dengan liga negara Eropah, namun begitu dengan wujudnya ’Sugar Mummy‘ seperti DS Vida, kestabilan sesebuah pasukan dapat dikekalkan untuk jangka masa yang panjang.

Menaikkan Taraf Bola Sepak Tempatan


Satu perkara yang pasti di sini, wang memainkan peranan yang penting dalam kejayaan pasukan bola sepak. Chelsea ataupun Manchester City adalah satu contoh yang ketara, dan di liga domestik kita dapat lihat transformasi JDT menjadi gergasi bola sepak Asia. Betul, pasukan-pasukan yang saya sebut dimiliki oleh individu berpengaruh namun tajaan besar daripada Qu Puteh dan D‘Herbs dapat meletakkan liga tempatan di landasan yang betul.

Dengan sokongan kewangan yang kuat, pasukan bola sepak tempatan dapat menarik minat pemain yang lebih berkaliber, pembangunan akademi bola sepak daripada akar umbi, menaikkan taraf pusat latihan dan stadium, sekaligus meninggikan mutu dan reputasi liga bola sepak tempatan. Siapa tahu satu hari nanti kita dapat lihat kelibat Memphis Depay meletakkan jari di bibir untuk pasukan Kelantan?

Kesimpulan

Penyokong seharusnya tidak risau dengan trend penajaan daripada syarikat kosmetik ini dan boleh biarkan saja jutawan-jutawan tersebut bermain ‘Football Manager’ secara realiti. Hakikatnya, persatuan bola sepak memerlukan penajaan untuk terus bersaing di liga bola sepak tempatan.

Jika dulu penaja syarikat rokok seperti Dunhill dituduh mengajak penonton untuk dapatkan kanser paru-paru, sekurang-kurangnya penaja seperti Qu Puteh dan Terlajak Laris dapat memupuk minat mencuci muka untuk menghilangkan jerawat batu.

Sekarang kita hanya tunggu masa Dr. Rozmey menyertai arena penajaan ini, mungkin beliau akan menaja pasukan Kedah dengan syarat pemain perlu memakai ‘bow tie’ dan mengenakan fesyen rambut cendawan.

Ini adalah artikel yang ditulis untuk Astro Awani: http://www.astroawani.com/berita-sukan/3-kesan-impak-penaja-ke-atas-sukan-bola-sepak-di-malaysia-90698



2 comments:

Unknown said...

duuudeeee...
dr rozmey dah gi melancong ke amsterdam..
ketagih shrooms.
lagipon sama biz dia lagi letop letop..

IBU,FITRI SULISTIAWATI said...

Saya sekeluarga mengucapkan banyak trima kasih kepada AKI MUPENG karena atas bantuannyalah saya bisa menang togel dan nomor gaib hasil ritual yang di berikan AKI MUPENG bener-bener dijamin tembus dan saat sekarang ini kehidupan saya sekeluarga sudah jauh lebih baik dari sebelumnya itu semua berkat bantuan AKI kini hutang-hutang saya sudah pada lunas semua dan sekarang saya sudah buka usaha sendiri. jika anda mau bukti bukan rekayasa silahkan hubungi/sms AKI MUPENG di 0852 9445 0976 atau KLIK DISINI insya allah angka beliau di jamin tembus dan beliau akan menbantu anda selama 3x putaran berturut-turut akan memenangkan angka togel dan ingat kesempatan tidak datang 2x,trima kasih.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...