Monday, January 4, 2016

Viral

Di zaman kegemilangan media sosial ini, satu perkataan yang kita sering dengar setiap hari adalah 'viral'. Dahulu, perkataan viral ni hanya menjadi bualan para doktor ketika mereka makan tengahari, tetapi kini setiap kali melayari susur masa Twitter mahupun Facebook, pasti ada kisah viral yang dipaparkan. Viral dalam konteks media sosial adalah sesuatu yang tersebar secara meluas dan mendapat kepopularitian segera melalui komunikasi media elektronik.

Jadi, apa yang boleh membuat sesuatu itu menjadi viral? Satu faktor utama yang memainkan peranan adalah tindak balas emosi positif, mahupun negatif terhadap sesuatu kisah itu. Masyarakat cukup gemar dengan kisah kejayaan yang memberi inspirasi ataupun cerita penderitaan yang meyayat hati,. Masalah timbul apabila kisah yang disebarkan itu sebenarnya bukan seperti yang tertera. Ok ini adalah artikel kedua aku untuk Astro Awani. Kalian boleh baca di sini: http://www.astroawani.com/gaya-hidup/tolong-jangan-viral-kan-artikel-saya-faizal-rosly-87929

Ayuh klik Read More untuk membaca entri asal.

Sebarkan dahulu, siasat kemudian

Dewasa kini banyak kisah palsu yang menjadi popular, sebelum akhirnya kebenaran didedahkan. Ini kerana masyarakat gemar menekan butang ‘Share’ dan ‘Retweet’ sepantas Watson Nyambek di zaman kegemilangannya. Mana ada masa nak siasat perkara sebenar, yang penting dapat kepuasan diri menjadi orang terawal menyebarkan berita terkini mengalahkan Astro Awani. Dengan bilangan ‘Like’ dan ‘Retweet’ yang mencecah ribuan itu bolehlah kita jadikan modal untuk berlagak dengan saudara-mara masa pulang ke kampung nanti. Itu yang kita kadang-kadang tertipu dengan kisah Pak Ngah siapa entah yang sakit buah pinggang perlukan wang untuk rawatan, tetapi rupa-rupanya itu hanyalah teknik untuk menggelapkan wang, lebih licik daripada MLM.

Viral kerana trend?


Kadang-kadang perkara remeh pun boleh menjadi ‘trending’. Teman lelaki datang rumah malam-malam bawa McD apabila gadis mengadu lapar, terus dijadikan ‘relationship goals’. Kalau saya jadi bapa ada lelaki datang rumah nak jumpa anak saya malam-malam buta memang saya dah bagi ‘Stone Cold Stunner’ dan makan burger tersebut. Kemudian netizen turut berlumba-lumba muat naik gambar perbualan lambang percintaan mereka di WhatsApp walhal hampir kesemuanya direka kerana mahu cepat popular.

Tak puas hati? Viralkan!

Ada juga benda yang boleh diselesaikan secara rasional di tempat kejadian, tetapi kita mengambil keputusan untuk memanjangkan cerita di media sosial. Selalunya perkara ini melibatkan interaksi dengan orang lain, contohnya layanan yang diterima di kompleks kerajaan mahupun di restoran . Kadang-kadang pekerja mamak tu tak sengaja terletak nasi penuh bila kita minta separuh, kita pula terus melenting, ambil gambar dan muat naik di media sosial tuduh mamak tu nak buat kita jadi gemuk.

Kesan buruk akibat viral?

Bagi setiap kisah yang viral tak kiralah sesuatu yang baik mahupun buruk, benda yang paling menarik untuk dibaca sebenarnya terletak pada ruangan komen. Di situ, semua orang berlumba-lumba untuk menunjukkan siapa yang paling betul, siapa yang paling ‘cool’. Ada yang memilih untuk berdakwah tak kena pada tempatnya, ada juga yang tak matang menuduh mak kita berwarna hijau walaupun kita berhujah dengan fakta.

Kisah ‘penculikan’ yang viral baru-baru ini memang menarik perhatian. Masyarakat rasa risau dengan keselamatan seorang gadis yang kononnya diculik, rupa-rupanya sekadar bersekedudukan dengan teman lelaki. Macam plot novel cinta Melayu pun ada. ‘Suamiku Penculik’, mengisahkan tentang seorang gadis bawah umur yang jatuh cinta dengan penculik tampan sebelum percintaan mereka dihalang oleh pihak berkuasa. Apapun moralnya di sini adalah, masyarakat akan menjadi lebih skeptikal apabila mendengar sesuatu berita, tiada siapa mahu percaya walaupun jenayah sebenar telah berlaku, seperti kisah teladan popular Pengembala Kambing dan Serigala.

Reaksi positif kesan daripada viral

Kita boleh menarik nafas lega kerana ada juga yang mendapat manfaat kesan daripada kisah-kisah viral ini. Contohnya, donut harga 10 sen menjadi buah mulut masyarakat dan jualan ‘diapers’ pun meningkat akibat aktiviti makan dalam lampin bayi. Tidak lupa, Datuk Vida pula semakin popular dengan teknik pemasaran viral yang dikatakan menjengkelkan tetapi sebenarnya memberi impak yang cukup besar di minda masyarakat.

Sempena tahun baru ini, marilah kita sama-sama berazam untuk berfikir sejenak sebelum berkongsi sesuatu di media sosial. Kita sendiri pun kalau berkata-kata keji di media sosial sekejap je orang akan ‘screenshot’ dan viralkan. Akhir kata, ingatlah pepatah moden ini; buat baik berpada-pada, buat jahat masuk Mastika.



2 comments:

wani ezryl * said...

sekarang ni kalau baca cerita2 yg diforward kat internet, ambik sebagai hiburan je. kadang ada artikel yang ditulis untuk kontroversi. orang tu cakap lain, tapi kat artikel cerita lain. bak kata sy sendiri; baca YE, percaya jangan. haha. nak tau sahih ke tidak kena pergi ke official website / baca press release.

Faizal Rosly said...

@wani haha bagus beginilah yang kita mahu!

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...