Monday, March 28, 2016

Isu Hantaran: Laporan Media Massa Popular

Hai apa khabar semua? Sebagai pengguna tegar media sosial, anda pasti peka dengan kisah-kisah masyarakat yang menjadi viral di alam maya. Hari ini, kisah yang menjadi buah mulut orang ramai adalah kisah pergaduhan di majlis perkahwinan akibat kegagalan membayar wang hantaran. Hasrat seorang pengawal keselamatan untuk mendirikan rumahtangga berkecai apabila ditinju oleh keluarga pengantin perempuan yang berang kerana wang hantaran tak cukup lagi 5 ribu. Silap juga guard tu tak bawa cota dia sekali.


Berikut adalah headline daripada surat khabar Kosmo: Wang Hantaran Tak Cukup, Cetus Gaduh Besar. Hampir semua akhbar, majalah mahupun rancangan TV tempatan turut sama mengeksploitasi situasi ini kerana ingin mendapat view dengan meletakkan headline yang lebih sensasi. Ayuh kita kaji headline-headline daripada media massa yang lain.

Kosmo: Wang Hantaran Tak Cukup, Cetus Gaduh Besar

Astro Awani: [Kini Trending] Isu Hantaran, Netizen Beri Pendapat Walaupun Tak Kahwin Lagi

Utusan: DAP Dalang Hantaran Tinggi, Jarum Halus Pecah Belahkan Melayu

TV3: Hantaran Tinggi, Kerajaan Sedia Ringankan Beban Perkenal BK1M

Malaysiakini: "Guard: I don’t know hantaran market value"

Harakah: Hantaran Tinggi Tidak Jejaskan Rancangan Untuk Teruskan Hudud

Tamil Neesan: பணம் அனுப்பும் போதாது, ஒரு பெரிய வேண்டும் என்றார்

Amanz: Maxis Memperkenalkan Sokongan Bayaran Hantaran Secara Online

Astro Arena: Hantaran Tinggi, Pengantin Tidak Berjaya Tanduk

Tv Al-Hijrah: Sebelum Diijabkabulkan Syariat Tetap Membataskan, Pelajari Ilmu Rumahtangga Agar Kita Lebih Bersedia

CleverGirlMy: Terkeluar Awal Daripada Saingan, Clever Girl Johor Tetap Letak Hantaran Tinggi

Mastika: Hantaran Lesap, Pengantin Dirasuk Iblis


Begitulah antara laporan-laporan daripada portal berita dan majalah tempatan. Jika ada headline menarik yang lain, silalah kongsi bersama. Apapun buat anda di luar sana yang masih belum berkahwin, bolehlah jadikan isu ini sebagai pengajaran. Kalau dah janji nak bagi RM15k, kenalah tepati janji tersebut, at least habaq awai-awai kalau tak cukup pun. Perkara sebegini dapat dielakkan jika kedua-dua pihak mengamalkan sikap toleransi dan tidak berbicara menggunakan kaki. Kalau nak bergaduh sekalipun, pastikan tiada orang sekeliling yang merakam.

Tuesday, March 22, 2016

Mengkaji Tabiat Manusia Di Dalam Lif

Hai apa khabar semua? Adakah kalian menggunakan lif sebagai kaedah pengangkutan setiap hari untuk menuju puncak gemilang cahaya walaupun hanya setingkat? Sebagai pengguna harian, anda pasti sudah masak dengan perangai manusia sekeliling. Aku macam tiada idea dah nak tulis intro panjang-panjang, jadi ayuhla kita teruskan membaca.

1) Ahli muzik

Ahli muzik di sini bukanlah merujuk kepada pemuzik professional seperti Man Kidal ataupun Ramlah Ram, sebaliknya mereka yang gemar membuat bunyi-bunyian ketika di dalam lif. Bunyi-bunyian ini selalunya dihasilkan oleh pengguna lif dengan menggunakan tangan ataupun mulut. Dalam suasana yang hening, anda mungkin akan terdengar bunyi ketukan drum ataupun tabla yang terhasil daripada hentakan jari dan tangan terhadap dinding lif.

Anda mungkin kenal dengan beat intro lagu tema Fifa 98 "Dun tak dun dun tak dun dun tak dun dun tak" dendangan Blur mahupun siulan kungfu hoyeah yang mengajak kita agar tidak ringan-ringan sebelum kahwin "Fiuuu fiuuu fiuu fiufiufiuuu fiufiu fiuu fiufiufiu fiufiu fiufiuifufiuuuu" nyanyian In Team. Selain daripada kesedaran sosial, memang tiada larangan pun untuk membuat bunyi-bunyian di dalam lif jadi kita tak bolehla nak marah mereka walaupun muzik yang dimainkan mereka memang tidak best. At least oklah lagi daripada mereka yang memasang lagu di telefon bimbit sekuat hati tanpa menggunakan earphone. Rasa bangga bila orang sekeliling dapat dengar lagu yang dipasang ketika membuat tarian sotong / tebar roti canai yang kini popular di kalangan remaja.

2) Anti sosial


Mereka yang anti sosial ni kita dapat tahu serta merta apabila mereka menjejakkan kaki di dalam lif. Tangan mereka akan memegang telefon pintar dan tiada sebarang eye contact yang dilakukan, mata mereka hanya akan tertumpu pada skrin telefon. Jika ada orang mahu masuk ataupun keluar daripada lif, usahlah mengharapkan sebarang bantuan daripada mereka untuk menahan pintu lif. Orang berlari dari jauh sepantas Watson Nyambek nak masuk lif memang tak akan sempat nak masuk. Kalau berjaya masuk pun pasti separuh badan kena kepit dengan pintu lif. Ouch. Kadang-kadang mereka sendiri pun tak tekan butang tingkat mana mereka nak pergi.

3) Panggilan terakhir

Mengikut kajian sains, telefon pintar menghantar dan menerima gelombang radio elektromagnetik. Gelombang ini boleh diserap mahupun dipantulkan oleh besi di dalam lif, dan sistem elektrik lain turut menghasilkan medan elektromakgetik sekaligus menyebabkan isyarat hilang. Nampak macam power penjelasan aku tapi aku Google translate je sebenarnya. Walaupun telah dijelaskan secara saintifik, masih ramai orang yang cuba berkomunikasi di dalam lif.

Tanda-tanda perbualan akan berakhir adalah apabila mereka mengucapkan "Hello? Hello? HELLO???" yang lama semakin kuat macam nak bergaduh, sebelum mengungkapkan ayat seterusnya dalam nada kekecewaan "Tak dengar woi aku dalam lif ni!". Bagi mereka yang memiliki keazaman yang tinggi serta tidak mudah berputus asa, mereka akan mendekatkan diri di pintu lif dan memanjangkan leher ke luar pintu lif setiap kali pintu lif terbuka untuk mendapatkan sisa-sisa line yang terakhir.

4) Bicara di dalam lif

Dalam lif, selalunya orang akan diam berdiri sambil menanti waktu tiba ke destinasi. Kadang-kadang terserempak juga dengan kenalan yang kita takdelah rapat sangat, sekadar tegur bila berjumpa saja. Maka di dalam lif anda akan selalu terdengar perbualan ringan seperti "Sup bro?", "Bro lunch ke bro?" mahupun "Balik ke bro?".

Namun begitu bila lif agak penuh dan ada orang terperosok di hujung kemudian rakan baik dia masuk di sudut satu lagi, keinginan untuk berbual mesra memang tidak dapat dibendung. Walaupun ada orang asing menghalang pandangan di tengah, mereka meneruskan perbualan tanpa ada perasaan awkward semua orang dapat dengar perihal mencari downline untuk kad jimat la Genius Saver.

5) Individu berfikiran positif

Antara waktu kemuncak penggunaan lif adalah di waktu makan tengahari, ataupun ketika mahu pulang dari kerja. Ramai manusia yang berbeza saiz punggung akan beresak-esak masuk ke dalam lif, sampailah di satu saat di mana kau rasakan macam dah ramai sangat orang, lepastu lif berbunyi "TING!" sebelum sampai ke tingkat bawah. Pintu terbuka, ramai yang nak masuk tetapi membatalkan hasrat mereka setelah melihat keadaan di dalam lif.

Namun begitu pasti ada seorang individu yang berfikiran positif tiba-tiba bersuara "Eh boleh masuk lagi sorang ni" lalu beliau pun cuba menyelinap di dalam lif menyebabkan formasi terpaksa diubah. Tanpa mempedulikan risiko gangguan seksual akibat pergeselan testis yang terhasil setelah berdiri terlalu rapat dengan orang lain, beliau terus merapatkan saf di dalam lif. Kalau lif terlebih muatan dan siren berbunyi, dia akan cuba menoleh ke individu yang paling gempal untuk dijadikan mangsa.

Begitulah antara perilaku manusia yang kita sering jumpa di dalam lif. Apa-apapun, perangai menekan semua butang lif sebelum keluar haruslah dihindari. Untuk penggemar filem seram yang berkaitan dengan lif, anda boleh tonton filem Devil.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...